Friday, August 24, 2012

Apa erti Ramadhan dan Syawal pada aku ?


AsSalaam wrh. wbt. dan salam sejahtera pembaca budiman,

     AlhamduliLlah dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpahan kasih-Nya kita masih berkesempatan bertemu Ramadhan dan seterusnya menyambut Syawal untuk ke sekian kalinya. Sedang aku menulis entri ini, Syawal baru sahaja melewati hari ke-6 seusai waktu solat fardhu Asar. Kesempatan ini aku selalu kaitkan dengan cara Allah s.w.t mengurniakan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada sekalian umat. Aku belajar untuk tidak ambil mudah bulan penuh keberkatan ini apatah lagi seribu ganjaran yang dijanjikan bersamanya. Ramadhan dan Syawal pada aku ialah saat mana aku mengumpul seluruh kelibat ruh hamba dalam aku, menyedari tempatku, menyelusuri kekerdilanku seraya menyembah, memuji dan membesarkan penciptaku. Allahu Akbar... Cabaran akan terusan mencabar kita dalam apa jua bentuk, apatah lagi di kala kita di momok dengan sisi komersial Hari Raya yang seakan ingin menghakis apa jua saki - baki kemuliaan Ramadhan dan kesucian Syawal yang dididik kepada kita sejak mula bertatih dengan Rukun Islam dan Ibadah secara amnya.
     Genap 5 tahun aku dan adik-beradik yang lain menyambut Ramadhan dan Syawal tanpa Mama dan Abah. Mama terlebih dahulu pulang ke pangkuan Ilahi pada bulan Mac 2008 akibat komplikasi penyakit kanser dan Abah menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan November 2010 pula kerana komplikasi penyakit kencing manis yang telah lama menjadi perit deritanya. Tidak pernah mudah melalui pengalaman - pengalaman kami adik - beradik dan ahli keluarga lain bergilir menjaga arwah Mama dan Abah di hospital tapi kami tetap merafa' syukur kerana diberi peluang berbakti kepada keduanya. Dari satu segi, aku pernah terdetik bahawa antara hikmah yang Allah s.w.t ingin tunjukkan kepada aku sebagai anak sulung di dalam keluarga adalah, pemergian Mama dan Abah pasti akan membuka ruang lain untuk aku lebih mendalami tanggungjawab aku sebagai hamba Allah s.w.t dan sebagai anak.
     Rindu ? Perkataan 'rindu' yang sedia aku maklum akan ertinya, akan menjadi tidak relevan bagi aku pada waktu-waktu sebegini. Walau aku belajar perkataan 'rindu' di dalam ratusan bahasa lain sekalipun, ia tak akan pernah dapat menerangkan perasaan yang aku rasa acap kali teringat arwah Mama dan Abah. Aku kagum dengan kekuatan adik - beradikku yang lain (dan kekuatan itu yang aku tumpang) selama ini yang tidak pernah menagih simpati, mengharap belas orang lain. Aku akui, kami perlu bersyukur sebab mempunyai keluarga yang amat besar di kedua belah keluarga Mama dan Abah dan setidaknya masih mempunyai sanak saudara yang prihatin. Tambahan pula, aku dan adik kedua ku sudah berkeluarga dan adik yang ketiga sudah mula bekerja, manakala yang paling bongsu pula sibuk semakin hampir menamatkan pengajiannya.
     Di akhirnya, Ramadhan dan Syawal pada aku ialah waktu untuk aku kenang semua saat - saat indah bersama Mama dan Abah walaupun mereka sudah tiada lagi kerana kehendak Allah s.w.t adalah untuk aku menyayangi mereka walau apa pun ketentuan-Nya. Inilah waktu untuk aku memberikan peringatan terbaik buat diri sendiri dan ahli keluarga yang lain bahawa Mama dan Abah telah berusaha sebaik mungkin untuk memberi didikan serta ilmu bagi bekalan dunia dan akhirat. Mari kita sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah buat kedua ibu bapa kita, tidak kira sama ada yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia serta sentiasa mendoa'kan agar segala Allah s.w.t mengampuni dosa - dosa mereka, menyayangi mereka seperti mana mereka menyayangi kita sewaktu kita masih kecil. Al- Fatihah...
     Saya ambil kesempatan di sini untuk memohon maaf dan ampun kepada semua pembaca di atas segala salah dan silap sepanjang saya berceloteh di blog ini. Moga Allah s.w.t mengampunkan segala dosa - dosa kita dan menerima semua amal ibadat yang kita lakukan kerana-Nya. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Wa Lillah Ilhamd.

Selawat serta Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, wassalam...