Wednesday, July 1, 2009

Dia datang, dengan lenggang - lenggoknya...

AsSalaam kawan - kawanku,

Hari ini mari kita ucapkan selamat datang kepada Encik Luis Antonio Valencia Mosquera, pemain terbaru yang ditawarkan kontrak untuk bermain bola sepak profesional bersama kelab bola sepak Manchester Bersatu. Yeay !

Apa ? Kawan -kawan kata dia tak sehebat Encik Cristiano Ronaldo Dos Santos Aviero ? Kawan - kawan rasa dia tak sekacak, se'cool', dan se'superb' bekas pemain Manchester Bersatu yang sekarang berada di Kelab Bola Sepak DiRaja Madrid tu ? Biar saya nyatakan disini kenapa saya rasa Encik Luis patut diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya.

Satu, dia sudah mempunyai 3 tahun pengalaman bermain di Liga Perdana Inggeris tajaan Bank Barclay bersama kelab bola sepak Wigan Lincah. Setiap musim dia makin menyerlah dan semakin serasi dengan corak permainan liga tersebut. Setiap musim juga pengurus - pengurus kelab bola sepak lain mula meminatinya seperti Arsene Wenger dan Rafael Benitez.

Dua, dia adalah pemain yang gemar berlari dengan bola, boleh menggelecek untuk melepasi pemain lawan dan menghidangkan umpanan - umpanan silang ke dalam kotak penalti untuk disudahkan. Valencia mungkin tidak menjaringkan gol sebanyak Ronaldo, tapi tahap kesungguhan dan kerajinannya untuk membantu pasukan bertahan dan turun mengejar larian pemain lawan adalah salah satu kualiti yang hampir tiada pada Ronaldo.

Tiga, kemahuannya untuk berjaya terbukti apabila berjaya mencorak karier awalnya bersama El Nacional, sebuah kelab bola sepak Ecuador yang juga merupakan kelab bola sepak askar kebangsaan Ecuador. El Nacional mempunyai konsep latihan ketenteraan dan rejim penekanan disiplin yang amat ketat. Sebagai seorang pemain muda yang sentiasa berada didalam kesebelasan utama pasukan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah tetapi Valencia ternyata mampu melakukannya.

Empat, dibawah kendalian Sir Alex Ferguson, ramai menyatakan Valencia mampu meningkatkan kualiti permainannya dan seterusnya menjadi seorang pemain yang lebih sempurna. Jika dinilai rekod jaringannya bersama kelab - kelab sebelum dan pasukan kebangsaan, ia adalah satu aspek yang mungkin akan dilihat oleh Sir Alex dengan perhatian yang lebih serius dan terancang.

Lima, hampir semua bekas jurulatih dan pengurus pasukan yang pernah melatih serta menguruskan Valencia menyatakan perkara sama tentang dirinya - pantas berlari, rajin membantu pasukan, bijak mencari ruang, dan yang paling penting mempunyai sikap dan kesungguhan yang amat cemerlang. Antara yang pernah menguruskan Valencia adalah Steve Bruce dan Chris Hutchings.

Valencia telah menyatakan bahawa menyertai Manchester Bersatu adalah impian menjadi kenyataan baginya, maka dengan ini bermulalah perjalanan beliau untuk menempatkan diri di kalangan bintang - bintang yang bersinar terang sebelum ini di 'Teater Impian' yakni Old Trafford.