Wednesday, September 22, 2010

Sabah Hawks? Sabah Rhinos? Sabah tatap !!!

AsSalaam wrh. wbt. dan selamat petang semua,

Saya kira 'mood' dan suasana perayaan Aidilfitri masih merangkumi segenap perjalanan hidup harian kita buat masa ini, jemputan yang ada pelawaan hadir serta persediaan untuk anjuran rumah terbuka masih perlu dipenuhi, kuih - muih raya yang berbalang bakinya serta hidangan pelbagai jenis rendang, lauk - pauk juadah berhari raya dan serba - serbi aneka jumlahnya masih perlu dihidang disaji.

Apa yang pasti, dalam suasana perayaan masih jelas terasa, pertandingan bola sepak paling berprestij negara telah pun bersepak mula pada 14 September yang lalu. Pertandingan merebut Piala Malaysia edisi ke - 83 (secara teknikalnya, bermula dengan Piala Malaya pada tahun 1921 dan Piala HMS Malaya pada tahun 1933 sebelum diberi nama baharu yang kekal sehingga kini pada tahun 1967) antara 16 pasukan dari persatuan negeri dan kelab.

Berlangsung ketika liga - liga utama bola sepak Eropah juga secara relatifnya memulakan persaingan, edisi pertandingan Piala Malaysia kali ini seperti tahun - tahun sebelumnya terpaksa bersiah dengan tarikan aksi permainan pantas Liga Perdana Barclays di England, percaturan taktikal terancang Serie A di Itali, dan La Liga di Sepanyol mempamerkan aksi kebolehan teknikal yang gah. Namun, saya tetap percaya bahawa pertandingan Piala Malaysia ada nilai sejarah yang cukup tinggi dan kemasyhurannya yang tersendiri kepada peminat bola sepak tanah air.

Tentunya fokus dan sokongan saya adalah bersama pasukan Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah atau lebih dikenali dengan nama Sabah Hawks sejak awal tahun ini (pertukaran imej yang menimbulkan banyak persoalan, lebih - lebih lagi gelaran sebelum ini, Sabah Rhinos amat popular di kalangan peminat). Seandainya saya betul - betul berterus terang, logo Sabah Hawks yang dilancarkan oleh SAFA juga rasanya tidak sepenuhnya melambangkan kualiti dan perletakan imej yang selayaknya untuk sebuah pasukan bola sepak bertaraf profesional, saya mohon jangan salah anggap dengan teguran saya cuma sejujurnya saya merasakan jika peminat - peminat pasukan Sabah sendiri diberi peluang untuk menyumbang idea kreatif dan maklum balas tentang pembaharuan imej serta logo pasukan, saya yakin SAFA juga yang akan beruntung dan dapat memanfaatkan maklum balas yang diterima sebaik mungkin. Pasukan Sabah layak bertanding merebut Piala Malaysia kali ini sebagai pasukan yang berjaya menduduki tangga ke - 2 Liga Premier, di belakang juara Liga Premier 2010, pasukan Felda United FC.

Kedudukan selepas 3 perlawanan peringkat kumpulan seharusnya belum cukup untuk menerbitkan rasa selesa baik di kalangan peminat, apatah lagi di kalangan pemain pasukan Sabah Hawks sendiri. Keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang pasukan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras diikuti dengan keputusan seri 2-2 yang cukup mengecewakan dengan pasukan Terengganu di Stadium Likas. Sabah mendahului 2 gol tanpa balas dan sememangnya menguasai tempo permainan dengan baki perlawanan lebih kurang 20 minit, Azizan Bob dbolosi 2 gol dalam masa 5 minit. 3 mata kemenangan akhirnya diperolehi menentang pasukan Pahang dengan penampilan yang lebih bertenaga, corak permainan yang lebih tersusun dan sedikit perubahan semula kepada senarai barisan pemain 11 yang pertama. Sokongan peminat - peminat pasukan Sabah Hawks juga tampak meningkat dengan tahap kehadiran yang semakin ramai ke Stadium Likas ke 2 perlawanan terakhir di stadium tersebut.

Secara peribadi, saya merasakan hasil usaha ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan, Gary Michael Phillips dan anak buahnya wajar diberi pujian kolektif. Jangan lupa, musim depan Sabah Hawks juga akan beraksi di dalam Liga Super Malaysia setelah kali terakhir membuat penampilan pada tahun 2005. Apa pun yang bakal berlaku di penghujung musim ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah atau SAFA perlu memperkemas perancangannya untuk musim hadapan dan memastikan segala perkara berkaitan kebajikan pemain, pegawai dan pengurusan pasukan diberi perhatian yang sewajarnya.

Pandangan saya, salah satu faktor utama pasukan Sabah Hawks boleh dianggap berjaya pada musim ini adalah kerana kestabilan yang berjaya diwujudkan dengan kehadiran Gary Phillips (Gary juga adalah satu - satunya jurulatih asing di dalam kancah persaingan Liga Malaysia musim ini) sebagai peneraju utama. Nantikan entri yang seterusnya untuk mengetahui pendapat saya tentang perubahan positif, perkongsian pengalaman secara efektif yang dibawa olehnya dan mengapa masa depan bola sepak Sabah boleh meningkat ke tahap yang lebih baik dengan Gary Phillips.

Masih terlalu awal untuk Sabah Hawks mencongak aksi di peringkat suku akhir nanti, tetapi tiada apa yang mustahil sekiranya semangat berpasukan dan kekentalan minda yang mula ditunjukkan oleh pemain sekarang dijadikan sebagai asas kepada setiap baki perlawanan di dalam persaingan merebut Piala Malaysia.

Sabah, Sabah tatap !!!

2 comments:

  1. saya bersetuju dengan komen itu bagi pendapat saya sabah tatap sabah apabila sabah bangkit semula ianya akan memberi kejutan pada semua pihak lawan dan tentunya penampilan sabah kali ini memberikan satu sinar baru pada bolasepak khasnya di malaysia apatah lagi kalau sabah akan memasuki peringkat akhir nanti sabah go sabahhawks.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana memberikan pendapat anda, masih ada baki 3 perlawanan (1 di tempat sendiri, 2 di tempat lawan) dan sekiranya perancangan Gary menjadi, kutipan mata penuh di Stadium Likas beserta persembahan tersusun di tempat lawan boleh membantu Sabah untuk mara ke pusingan seterusnya.

    ReplyDelete