AsSalaamu'alaikum wrh. wbt. dan bon soiree tuan - tuan dan puan - puan,
Pertama sekali, saya ingin mengajak tuan - tuan dan puan - puan pembaca budiman untuk sama - sama berhimpun secara aman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 ini sekiranya mempunyai kelapangan masa dan acara.
Perkara kedua, izinkan saya membuat serba sedikit catatan di dalam laman blog saya ini yang ternyata usang dan menyerlah culas saya dalam menyelenggaranya. Catatannya berbunyi " Kenapa saya mahu ke Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 ".
Sehingga saat saya mengatur perkataan - perkataan di sini menjadi ayat, sudah bermula adegan main 'acah - acah' pihak Polis DiRaja Malaysia dalam soal lokasi perhimpunan kelak. Saya rasa cukuplah dengan apa yang berlaku semasa Perhimpunan Bersih 3.0 yang lepas. Saya cukup salut kerana pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat secuba daya mengikut segala 'lincah tari' pihak - pihak yang tidak mahu perhimpunan ini berjaya. Harus diingat, pada akhirnya, kita mahu berhimpun secara aman dan teratur.
Jadi, kenapa saya mahu turun ke perhimpunan ini?
Jawapan saya, sebab saya sayangkan Malaysia. Saya faham ada rakan - rakan lain yang beda caranya untuk menunjuk rasa sayang kepada negara. Saya hanya satu suara, fahamilah yang dengan berkumpul secara aman nanti suara saya juga akan bergabung dengan mereka - mereka yang lain.
Ada yang turun kerana mahukan sistem pilihanraya yang lebih telus dan adil...bukankah itu tujuan yang baik untuk negara?
Ada yang turun kerana mahukan perkiraan dan pembayaran royalti hasil galian minyak dan gas kepada negeri - negeri pengeluar mengikut perjanjian yang telah ditetapkan... tidakkah itu yang sepatutnya?
Ada yang mahu turun kerana khuatir dengan tahap pencemaran alam sekitar dengan adanya kilang nadir bumi seliaan LYNAS di Kuantan... salahkah mereka berhimpun demi masa depan anak cucu mereka?
Saya baca hampir setiap hari (dan saya periksa dan ulang periksa berita - berita ini dengan rakan - rakan yang kebetulan berkhidmat di jabatan - jabatan kerajaan) tentang salah guna kuasa dan tangan - tangan rakus merobek wang negara, perlanggaran secara jelas undang - undang tetapi keadilan diketepi hanya kerana pesalah berkait rapat dengan sang penguasa.
Saya sayang Malaysia saya. Apa kata anda ?
No comments:
Post a Comment