Thursday, August 4, 2011

Paul Scholes, he scores goals...

AsSalaamu'alaikum wrh. wbt. dan hola rakan-rakan !

Sedang asyik melayari internet sementara menunggu mata mengantuk, saya kembali segar apabila terbaca tentang perlawanan seterusnya yang akan diharungi oleh pasukan Manchester United.Perlawanan khas yang juga merupakan perlawanan 'testimonial' ('testimonial match' adalah satu perlawanan mengiktiraf jasa dan perkhidmatan yang telah diberikan oleh seseorang pemain bola sepak kepada sesebuah kelab, bagi tempoh lebih kurang 10 tahun dan biasanya sebuah perlawanan yang tidak kompetitif) buat Paul Scholes di mana Manchester United akan menentang pasukan francais Liga Bola Sepak Major, Amerika Syarikat yang diberi 'nafas baru' iaitu New York Cosmos


Apa yang membuatkan saya terkesan adalah Paul Scholes sendiri! Saya mengetahui pasti suatu masa Scholesy, seperti juga rakan-rakan seangkatan dengannya di era 'The Fergie Fledglings' bersama Beckham, Giggs, Neville bersaudara, dan Butt akan bersara, tetapi bukan secepat ini...ya betul, Gary Neville sudah membuat keputusan beliau namun secara peribadi saya masih merasakan Scholesy boleh bertahan sekurang-kurangnya satu musim lagi bersaing dengan bakat-bakat jauh lebih muda dan bertenaga di kancah Liga Perdana Barclays.


Paul Scholes adalah pemain bola sepak antarabangsa yang pertama saya minati dan paling saya kagumi, seklise mana pun pernyataan saya yang berikutnya, saya tetap mahu mengatakan yang bilik saya dipenuhi dengan poster-poster pemain Manchester United dan yang mendapat tempat paling strategik untuk dilekatkan adalah poster Scholesy, biasanya pada dinding bersebelahan katil atau pun pada dinding betul-betul di atas meja ulang kaji.


Saya rasakan tidak perlu untuk saya bersusah payah mengulangi statistik dan pencapaian Scholesy sepanjang dia beraksi untuk kelab dan negara, memadai saya nyatakan saya cukup mengaguminya kerana 2 perkara. Pertama, Scholesy adalah seorang pesakit asma dan mempunyai kondisi lelah namun dia telah membuktikan betapa itu bukan halangan untuk berjaya. Kedua, bentuk fizikal yang dimilikinya juga dianggap terlalu kecil dan pendek untuk berjaya sebagai seorang pemain bola sepak professional tetapi sekali lagi Scholesy mempamerkan semangat juangnya. Kualiti-kualiti seperti ini yang agaknya boleh menjadi pembakar semangat buat mereka yang kepingin menjadi pemain bola sepak jagoan!


Kepada pembaca yang turut sama membesar seperti saya pada lewat tahun 90'an dan pada waktu awal kedatangan capaian internet dan perkhidmatan e-mel dulu, tentunya anda pernah terjebak dalam kegilaan menggunakan nama-nama idola anda sebagai alamat e-mel, antara contoh yang saya boleh beri supaya sama-sama boleh mengimbau kenangan dahulu ialah Aboy_KRU@aol.com ataupun ShukriDiCaprio95@mail.com semua ini contoh ya! Selamat untuk mengakuinya, saya pun ada alamat e-mel seumpama itu yang masih saya gunakan sehingga hari ini iaitu scholesy_mac83@hotmail.com


Saya harap pembaca tidak jengkel dengan nama panggilan "Scholesy" yang saya guna pakai kerana sejujurnya saya selesa, memang banyak lagi nama jolokan yang lain seperti "The Ginger Ninja" saya agak kerana warna rambutnya, "The Artful Dodger" mungkin kerana 'style' permainannya yang licik dan berkesan, "The Pocket Dynamite" diberi oleh bekas jurulatih bangsa asing pertama England, Sven Goran Eriksson. Terbaharu yang saya ketahui ialah "SatNav" setelah membaca salah satu tweet daripada Rio Ferdinand, dan ini pembaca mesti tahu kenapa, tentunya kerana hantaran dan umpanan tepat yang sering dilakukan oleh Scholesy seolah-olah mempunyai ketepatan setaraf teknologi GPS jenama SatNav itu sendiri! Itu Paul Scholes yang rakan sepasukannya kenali dan menyaksikan sendiri ke'sifu'annya setiap hari di padang latihan.

Antara lain, saya dan rakan-rakan sekelas sewaktu di sekolah dulu pernah membuat sekeping poster mini tribute kepada pemain-pemain kegemaran masing-masing hanya dengan menggunakan sehelai kertas berwarna bersaiz A4 dan keratan-keratan surat khabar sebelum di'laminate'kan agar ia nampak menarik dan tahan lasak!

Tentunya, saya mengabadikan Paul Scholes melalui secebis 'sticker' yang saya dapat secara percuma hasil pembelian majalah Shoot atau Match saya tidak ingat, tetapi istimewanya 'sticker' itu ialah kerana aksinya membuat larian 'celebration' sambil tersenyum girang setelah menjaringkan gol bagi pasukan England di Piala Dunia Perancis 1998 menentang Tunisia. Kalau anda perasan, ketika itu Scholesy masih bintang muda mendapat tajaan but bola sepak berjenama Pony sebelum disambar oleh Nike, syarikat jenama sukan gergasi dari Oregon, Amerika Syarikat.


Mungkin hati sedikit terubat kerana setelah mengumumkan persaraannya beberapa bulan lepas, Scholesy diserap menjadi sebahagian daripada sepasukan jurulatih yang akan membantu Sir Alex untuk memantapkan persediaan musim baru 2011/2012.

Yang pasti, Paul Scholes akan terus diingati oleh semua peminat bola sepak tidak kira anda penyokong Manchester United atau bukan. Saya sempat tampilkan tribute daripada pemain-pemain lain yang turut mengagumi dan pastinya akan merindui kelibat Paul Scholes !


Xavi : In the last 15 or 20 years the best central midfielder that I've seen - the most complete - is Scholes (Ini Xavi Hernandez daripada FC Barcelona tu yang cakap, kalau dia pun boleh panggil Scholesy 'complete' siapa lagi yang boleh pertikai)

Zinedine Zidane : My toughest opponent? Scholes of Manchester. He's the complete midfielder. (Zidane memang sejak dia main untuk Juventus lagi menjadi penggemar setia corak dan kebolehan Scholesy membaca permainan)

Juan Sebastian Veron (while at Chelsea FC, was asked who's the best English player,he answered) : Paul Scholes (sempat berganding bahu semasa 3 atau 4 tahun Veron beraksi di Old Trafford)

Roy Keane : An amazingly gifted player who remained an unaffected human being.(memang selalu sangat disebut-sebut bahawa barisan tengah pasukan Manchester United yang ada Giggs-Keane-Scholes-Beckham adalah yang terbaik pernah dibariskan!)

Edgar Davids : Every one of us (midfielders) is just trying to be as good as him. Everyone can learn from Paul Scholes. (Davids merupakan antara pemain bola sepak Belanda yang paling digeruni satuketika dulu)

Patrick Viera : The player in the Premiership I admire most? Easy - Paul Scholes. (Antara 'musuh' yang cukup mengagumi Scholesy)

Sekian dulu daripada saya, terima kasih kerana sudi membaca! Ciao !

No comments:

Post a Comment