AsSalam wrh. wbt. dan selamat sore semua,
Saban hari saya menantikan berita perpindahan pemain baru ke Manchester United, membaca mengenai spekulasi yuran perpindahan si polan dan si polan diperkatakan, ternyata 'industri' bola sepak antarabangsa adalah sebuah industri yang kalis-resesi.
Apalagi yang boleh kita simpulkan apabila realitinya yuran perpindahan seorang pemegang anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA adalah lebih mahal daripada kos pembinaan sebuah stadium yang sehingga beberapa minggu lepas merupakan pemegang anugerah stadium terbesar di zon pantai timur Semenanjung Malaysia. Jatuh menyembah bumi juga bumbung stadium yang dikatakan berteknologi tinggi setaraf terbaik Asia !
Berbalik kepada hobi sampingan, menunggu tajuk berita yang saya idam-idamkan akan terpampang didada akhbar seperti " Karim Benzema signs for United ", atau " Ribery is now a Devil ", atau " United smashes world record transfer fee for David Villa " memang meleset sama sekali. Akhirnya, pemain yang dikatakan kesayangan pengunjung-pengunjung Old Trafford juga mengikut jejak C. Ronaldo meninggalkan skuad Sir Alex.
Dalam sebulan, United sudah kehilangan 2 pemain yang cemerlang musim lepas. Mungkin ada baiknya untuk Ronaldo ke Liga Primera Sepanyol, tetapi kalaulah Carlitos Tevez berpindah ke Manchester City hanya kerana mereka menawarkan gaji dan yuran bonus penyertaan yang lebih tinggi, maka sahlah romantisisma bola sepak makin terhakis.
Apapun, terima kasih Tevez. Dia ada dimensi yang pemain lain terkapai-kapai untuk cari, dia ada keazaman yang terlalu tinggi untuk memuaskan hati sendiri dan kalau dia kembali ke Old Trafford selepas ini dengan menyarung jersi City, United akan tahu apa yang akan mereka hadapi.
No comments:
Post a Comment