Monday, June 15, 2009
Melaksanakan sumpah yang baharu sahaja dilafaz !
AsSalam wrh. wbt. dan salam sejahtera semua,
Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah diarahkan untk meninggalkan dewan persidangan oleh Tan Sri Speaker sejurus selepas menurunkan tandatangan di atas watikah perlantikannya.
Menurut Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru itu telah "melanggar etika berpakaian" dan "berkelakuan kasar". Etika berpakaian yang kononnya dilanggar oleh D.S Nizar adalah kerana adanya lilitan kain bertulis "bubar DUN" disongkok beliau dan telah dikatakan berkelakuan kasar setelah melaungkan slogan yang berbunyi "Hidup Rakyat" dan "Bubar Dewan Undangan Negeri" beberapa kali di dalam dewan.
Beberapa ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat turut digantung tugas selama 2 hari, mereka ialah Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Mahfudz Omar (Pokok Sena), Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), N. Gobalakrishnan (Padang Serai), Nga Kor Ming (Taiping) dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) setelah mereka dikatakan enggan menurut arahan Tan Sri Speaker.
D.S Nizar telah menyatakan dengan tegas bahawa sebagai ahli parlimen, dia telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia dan mahu diberi peluang oleh Tan Sri Speaker untuk menarik perhatian Dewan Negara terhadap situasi serta kemelut politik di Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan. Apa yang berlaku ketika sidang di DUN Perak beberapa bulan lepas adalah pencabulan ketara terhadap perlembagaan, penafian jelas terhadap hak - hak di dalam sesebuah negara demokrasi, dan kesombongan Barisan Nasional dalam menerima hakikat sebenar politik masakini.
Ini merupakan salah satu kualiti yang ada pada D.S Nizar yang membuatkan rakyat negeri Perak masih menganggapnya sebagai Menteri Besar yang sah. Dia tidak pernah mengenal erti kalah, selagi hak rakyat untuk memilih kerajaan sendiri tidak ditunaikan. Dia tidak akan tunduk kepada mainan hipokrit Barisan Nasional yang memperlekehkan perlembagaan sesuka nafsu dan menunggangpakai jentera - jentera kerajaan seperti PDRM, SPRM dan SPR.
Apa yang kasarnya dengan melaungkan slogan ? Cuba bandingkan dengan tindakan biadap beberapa ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang menyergah dan menghamun Karpal Singh, ahli parlimen Jelutong yang juga merupakan seorang orang kurang upaya (OKU). Walaupun kejadian itu berlaku di luar dewan, ia tetap memberi kesan buruk dan negatif terhadap Dewan Rakyat dan bangunan parlimen sendiri sebagai lambang demokrasi negara.
Apa yang salah dengan memakai lilitan kain bertulis, sedangkan ada mantan Speaker Dewan Rakyat, almarhum Tun Zahir Ismail pernah membenarkan lilitan kain bertulis di lengan yang membantah undang - undang ISA sewaktu persidangan parlimen yang ke - 10 dahulu. Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad berpendapat tindakan Tan Sri Speaker kali ini sebagai keterlaluan.
Ini adalah manifestasi perjuangan Pakatan Rakyat, ini adalah perlaksanaan kata - kata, ini adalah mengotakan sumpah yang telah dilafaz.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment